Showing posts with label Teknik Penyimpanan Susu Ibu. Show all posts
Showing posts with label Teknik Penyimpanan Susu Ibu. Show all posts

Panduan Penting untuk Proses Penyimpanan Susu Ibu

Susu ibu yang diperah boleh disimpan untuk diberikan pada bayi sepanjang ketiadaan ibu bersama bayi. Susu ibu mengandungi sel hidup, oleh itu susu ibu yang diperah perlu disimpan dengan kaedah yang betul untuk memastikan kandungan nutriennya terpelihara dan tidak musnah. Susu ibu sebenarnya mempunyai bahan anti-bakteria yang membolehkannya kekal segar dan tahan lama.


Bekas yang sesuai untuk menyimpan susu perahan:
  • Bekas plastik atau botol susu bebas BPA (Bisphenol-A) / Storage bottle
  • Bekas kaca atau bekas plastik berbucu keras (seperti Tupperware Brands)
  • Breast milk storage liners (zipper storage bag) yang memang dikhususkan untuk menyimpan perahan susu ibu
Susu ibu yang diperah boleh disimpan di dalam keadaan dan tempoh masa berikut:
  • Di dalam suhu bilik (19' hingga 26'C) tahan sehingga 4 jam
  • Di dalam bekas penyejuk (cooler bag/box) (suhu kurang 4'C) tahan sehingga 12~24 jam
  • Di dalam peti sejuk (suhu kurang 4'C) tahan sehingga 5~7 hari
  • Di dalam peti sejuk bahagian beku (-18' hingga -20'C) tahan antara 3 hingga 6 bulan. Rujuk di sini untuk info terperinci.

Panduan ASAS Penyimpanan Susu Ibu
  • Bekas penyimpanan susu ibu hendaklah dibasuh dengan bersih menggunakan sabun, dibilas dengan air didih dan dikeringkan dengan sempurna sebelum digunakan. Boleh guna bottle steam sterilizer untuk mudah dan cepat proses membunuh kuman.
  • Catatkan tarikh perahan dan labelkan pada bekas susu sebelum menyimpannya.
  • Simpan susu dalam kuantiti mencukupi iaitu satu bekas khusus untuk satu sesi penyusuan, contohnya 2~4 oz sahaja setiap bekas.
  • Jangan penuhkan bekas sehingga ke penutupnya, tinggalkan sedikit ruang untuk membolehkan proses pengembangan berlaku apabila susu dibekukan.
  • Susu yang hendak dibekukan sebaiknya hendaklah disimpan di bahagian sejuk terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke bahagian beku peti sejuk.
  • Jangan simpan susu perahan di bahagian pintu peti sejuk kerana suhu di bahagian pintu tidak stabil (disebabkan kekerapan membuka dan menutup pintu sejuk)
  • Sebaiknya simpan susu perahan di bahagian paling atas dan paling dalam kerana suhunya lebih stabil dan malar.
  • Jika menggunakan bekas penyejuk (cooler bag) pastikan ice pack yang digunakan mencukupi untuk digantikan jika perlu dan kurangkan kekerapan membuka bekas penyejuk.

warmer (pemanas susu) memudahkan ibu-ibu memastikan suhu susu tidak melebihi 40'C
Info tambahan berikutan soalan-soalan lazim yang sering dibangkitkan
  1. Susu yang diperah di pejabat boleh disimpan di dalam peti sejuk di pejabat (jika ada) dan dibawa balik menggunakan cooler bag yang berisi ice pack (yg beku) yang mencukupi dan tahan untuk tempoh perjalanan pulang ke rumah (walaupun perjalanan ke rumah hanya mengambil masa 10 minet, pastikan susu perahan KEKAL SEJUK). Sejurus sampai di rumah, bolehlah pindahkan ke peti sejuk di rumah sama ada hendak letakkan di bahagian bawah (suhu biasa sejuk peti ais) atau di bahagian atas (sejuk beku /freezer). Tidak digalakkan membekukan susu semasa di pejabat/ tempat kerja kerana susu beku lebih sukar diuruskan sebabnya kita perlu memastikan ia dibawa pulang ke rumah dalam keadaan beku dan tidak boleh mencair walaupun sedikit.
  2. Jika susu beku sudah mencair (walaupun sedikit), susu tersebut TIDAK BOLEH lagi dibekukan semula. Ia perlu disimpan di bahagian bawah (bahagian sejuk biasa peti ais) malah perlu dihabiskan (digunakan untuk bayi) dlaam tempoh 24 jam (bermula dari masa ia mencair).
  3. Susu perahan lebih baik disimpan di bahagian sejuk biasa berbanding bahagian beku (freezer) jika susu perahan itu adalah stok untuk beberapa hari sahaja. Sekiranya pada hari ke 5 susu perahan tersebut belum digunakan maka bolehlah naikkannya ke bahagian beku untuk memanjangkan tempoh hayatnya.
  4. Susu perahan yang dibekukan akan kehilangan beberapa nutrien dan antibodi akibat proses pembekuan namun komposisinya masih JAUH LEBIH BAIK berbanding susu formula. Oleh itu ibu perlu memberi susu segar (secara direct feeding), susu perahan yang disejukkan dan susu perahan yang dibekukan untuk mengimbangi keperluan nutrien dan antibodi bayi.
  5. Susu perahan yang telah dipanaskan, diberikan kepada bayi tetapi tidak habis diminum. Ibu-ibu masih boleh menyimpan susu tersebut ke dalam peti sejuk semula untuk penyusuan berikutnya (anggaran masa tidak lebih dari 2 jam). Jika pada penyusuan kedua tidak juga dihabiskan maka susu tersebut perlu dibuang.

Sumber : momschoice

Panduan Pemilihan CARA untuk Menyimpan atau Mengendalikan SUSU IBU (EBM)

 

Hari ini terdapat pelbagai bekas penyimpanan perahan susu ibu di pasaran. Dengan cara ini, tidak ada masalah untuk anda terus memberi si manja menikmati susu ibu meskipun anda sibuk bekerja. Seperti mana yang kita semua sedia maklum, pemakanan yang terbaik untuk si manja ialah menerusi pemberian susu ibu secara langsung. Namun ini tidak bererti anda harus mengabaikan pemilihan bekas penyimpanan perahan susu ibu ini kerana ia turut mempengaruhi kesegaran serta tempoh jangka hayat simpanan susu perahan itu nanti.
1. Biasanya botol kaca dilihat sebagai pilihan terbaik untuk menyimpan susu beku kerana komponen susu berada dalam keadaan lebih baik jika disimpan di dalam botol kaca.
2. Pilihan kedua terbaik pula adalah botol plastik yang lebih keras dan jernih.
3. Para ibu gemar memiliki botol plastik kerana ia lebih mudah. Tambahan pula kebanyakan pusat penjagaan kanak-kanak tidak menerima penggunaan botol kaca kerana ia berisiko.
4. Pilihlah botol yang memiliki penutup kedap udara yang ketat dan mudah digunakan.
5. Agar mudah untuk membawa botol-botol simpanan susu perahan itu ke mana-mana, simpanlah botol-botol tersebut di dalam sebuah beg khusus.
6. Dalam memastikan kesegaran agar susu tidak rosak, beg tersebut perlu diisi dengan pek ais khusus untuk mengekalkan suhu sejuk susu simpanan tersebut.
7. Dalam kes tertentu beg penyimpanan susu ini juga boleh menimbulkan masalah seperti susu tertumpah. Jadi para ibu perlu memilih beg yang betul-betul efektif.
8. Hari ini, kebanyakan syarikat pengeluar pam susu ibu turut menyediakan beg penyimpanan susu yang sangat mudah untuk digunakan dan plastik simpanan susu yang lebih tebal. Namun, harganya mungkin sedikit mahal.
9. Untuk langkah lebih selamat, sarungkan plastik nipis pada setiap botol simpanan itu sebelum diletakkan di dalam beg bagi menangani masalah kebocoran atau tertumpah.
10. Penggunaan botol simpanan susu ibu yang berwarna adalah tidak digalakkan kerana bimbang sebahagian daripada perwarnanya luntur dan memasuki susu.
Bagaimana mengetahui susu yang mana harus digunakan dahulu?
Anda perlu sentiasa melabelkan susu mengikut tarikh dan masa susu diperah. Kemudian anda perlu menggunakan susu yang mula-mula diperah terlebih dahulu. Jika anda membekalkan susu perahan ibu kepada pusat asuhan anak anda, nama anak anda perlu ditulis dengan jelas agar botol tidak bercampur dengan botol kanak-kanak lain.
Bolehkah susu lebihan disimpan semula?
Susu perahan yang telah disediakan untuk diberikan terus kepada bayi perlu dihabiskan dalam tempoh satu hingga dua jam. Jika bayi anda tidak menghabiskannya dalam tempoh tersebut, susu lebihan itu perlu dibuang.

credit
Oleh: Editorial PaMa
Tarikh: 3 Februari 2012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...